Perlakuan Pengundi Masyarakat Bidayuh di Kawasan Parlimen P.172 Mambong:
Suatu tinjauan dalam Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999
Oleh
AHI SAROK

Diterima pada Disember 1999.
Diterbitkan ke dalam Internet pada 05 Januari, 2000 dengan ehsan daripada Encik Ahi Sarok.
Diterbitkan semula untuk bidayuh dotcom dengan ehsan daripada Encik Ahi Sarok pada 03 May 2000

Rujukan
Sarok, A. 1999. Perlakuan Pengundi Masyarakat Bidayuh di Kawasan Parlimen P.172 Mambong: Suatu tinjauan dalam Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999. 14 m.s. (http://www.geocities.com/dayung_biatah/elect.html)

© Permission to make digital or hard copies of all or part of this work for personal or classroom use is granted without fee, provided that copies are not made or distributed for profit or commercial advantage and that copies bear this notice and the full citation on the first page.
Downloaded from Ms Kelly Renim Munyang aka Dayung Biatah's website for bidayuh dotcom


Pengenalan
Kerusi Parlimen Mambong Menjadi Rebutan
Model Kognitif Memilih Undi
Faktor-faktor Yang mempengaruhi Perlakuan Pengundi
Calon yang bertanding adalah anak tempatan
Dasar perjuangan parti
Keahlian dalam parti
Kesimpulan
Bibliografi

Pengenalan
Tujuan makalah ini ditulis adalah untuk meninjau perlakuan pengundi masyarakat Bidayuh di kawasan Parlimen P.172 Mambong dalam Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999. Kawasan P.172 Mambong merupakan sebuah kawasan Parlimen yang baru diwujudkan di Negeri Sarawak setelah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri selesai membuat persempadanan semula bagi kawasan-kawasan pilihanraya di Sarawak.

Bagi masyarakat Bidayuh di Sarawak, sebelum kewujudan Kawasan P.172 Mambong, mereka hanya mempunyai dua kawasan Parlimen, iaitu Mas Gading  dan Serian. Sebelum persempadanan semula dilakukan, Kawasan Parlimen Mambong merupakan sebahagian daripada Kawasan Parlimen P.158 Padawan. Akan tetapi, setelah persempadanan semula dilakukan oleh SPR, Kawasan Parlimen Padawan telah terbahagi dua, iaitu Kawasan Parlimen Stampin dan Kawasan Parlimen Mambong. Kalau ditinjau dari perspektif sejarah, Kawasan Parlimen Mambong (yang dahulunya adalah sebahagian daripada Kawasan Parlimen Padawan) merupakan kubu kuat BN (SUPP), yang hanya mempunyai 35% pengundi Bidayuh dari jumlah seramai 39,682 pengundi (Sarok, 1993: 8). Terdapat dua buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, iaitu DUN Bengoh dan DUN Batu Kawah yang tergolong di dalam Kawasan Parlimen Padawan. Setelah persempadanan semula dilakukan, hanya kerusi N.14 Bengoh telah dijadikan sebagai Kawasan Pilihanraya P.172 Mambong dan DUN Batu Kawah diletakkan ke dalam Kawasan Parlimen Stampin. Selain itu, DUN N.15 Tarat turut dimasukkan bagi mewujudkan Kawasan Parlimen Mambong. Kewujudan kerusi Mambong kini telah membuatkan para pengundi masyarakat Bidayuh menjadi pengundi majoriti di kawasan tersebut. Kini 63 % atau 20,989 daripada sejumlah 33,351 pengundi adalah merupakan kaum Bidayuh (sila lihat Jadual 8 dalam Lampiran I) (Balik?)

Nota Kaki
Ketika makalah in ditulis, Pegawai Perubatan (MO) Dr. Tiki Ak Lafe, yang bertanding untuk kawasan Parlimen Mas Gading telah berjaya menewaskan Presiden STAR, iaitu Dr. Patau Rubis dalam Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999. Dr. Patau Rubis  merupakan penyandang kerusi (incumbent) Parlimen Mas Gading selama tiga penggal berturut-turut. (Balik?)


Kerusi Parlimen Mambong Menjadi Rebutan
Senario politik di kawasan Mambong sebelum Pilihanraya Parlimen 1999 telah menjadi bahan bualan bukan sahaja di kalangan pemerhati politik, malah kepada semua penduduk kampong di kawasan tersebut. Kawasan Parlimen Mambong terbahagi kepada beberapa kawasan kecil seperti Penrissen, Padawan, Tarat dan sebahagian dari kawasan dalam daerah Bau. Terdapat 83 buah kampong Bidayuh di Kawasan Parlimen Mambong. Dalam ulasan yang dibuat oleh Aszman Alim (1999), Mambong merupakan kerusi yang penuh dengan kontroversi dan boleh dianggap sebagai kerusi panas dalam Pilihanraya Parlimen 1999, bukan sahaja di kalangan masyarakat Bidayuh malah terus menjadi perhatian masyarakat-masyarakat lain dan juga parti-parti politik yang ada di Sarawak.

Kerusi P.172 Mambong didakwa dikuasai 100% oleh Barisan Nasional (BN). Malahan kawasan Bengoh yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Y.B. Encik William Tanyuh Ak. Nub, dan Tarat oleh ADUN Y.B. Encik Roland Sagah Wee Inn dikatakan menjadi kubu kuat BN. Sebaliknya, Mambong juga telah menjadi kontroversi kerana ia menjadi rebutan di kalangan komponen parti BN di Sarawak, malah ia turut menjadi medan bagi parti STAR untuk menguji kekuatan parti tersebut (Aszman Alim, 1999: 24).

Di kalangan komponen parti-parti dalam BN Negeri Sarawak, terdapat tiga komponen parti BN yang turut melobi kerusi Parlimen Mambong. ADUN Bengoh, Y.B. Encik William Tanyuh Ak. Nub misalnya, dalam ucapan di satu majlis yang diadakan di Kampung Bunuk dalam daerah mengundi Semadang pada bulan April 1999, telah mengesa supaya Kerusi Parlimen Mambong diserahkan kepada SUPP. Alasan yang diberikan oleh ADUN Bengoh itu adalah berdasarkan kepada faktor sejarah, kerana kawasan Parlimen Padawan dahulunya dimiliki oleh SUPP. Walaupun demikian, SUPP tidak begitu bersungguh-sungguh untuk melobi kerusi Mambong. Ini adalah kerana tidak ramai masyarakat Bidayuh yang menjadi ahli SUPP. Majoriti ahli parti SUPP adalah terdiri daripada suku kaum Cina dan perjuangan parti tersebut juga adalah untuk kepentingan kaum Cina. Akibatnya, SUPP tidak mempunyai calon yang sesuai dan berkaliber untuk menjadi calon seandainya kerusi tersebut diserahkan kepada SUPP.

Selain SUPP, komponen parti BN yang turut melobi kerusi Mambong ialah tidak lain dan tidak bukan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Malah dalam perhimpunan agung PBB yang diadakan pada tahun 1998, seorang wakil PBB dari cawangan Bengoh dalam ucapannya di majlis tersebut telah menggesa agar Jawatankuasa Kerja PBB yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, mengusulkan satu resolusi supaya kerusi Parlimen Mambong diberikan kepada PBB. Selain itu, PBB yang kini memiliki DUN N.15 Tarat dalam Parlimen Mambong juga mempunyai beberapa orang personaliti yang turut melobi Mambong. Yang paling ketara ialah Ketua Pemuda PBB, N.14 Bengoh, Encik Munded Ak. Bandat. Malah dalam beberapa majlis yang dianjurkan oleh parti, nama beliau turut disebut sebagai bakal calon andainya kerusi tersebut diserahkan kepada PBB. Jika SUPP tidak mempunyai calon yang sesuai, keadaan yang sebaliknya berlaku kepada PBB. Di kalangan para pemerhati politik, PBB mempunyai terlalu ramai pemimpin kanan yang boleh diketengahkan oleh BN untuk bertanding dalam Parlimen Mambong. Misalnya, Aszman Alim (1999) ketika  mengulas menyebut:

"Sekiranya PBB mendapat suara mutlak untuk bertanding, kemungkinan bakal calonnya ialah Peter Ak. Minos (seorang Ahli Majlis Tertinggi PBB) atau Sora Ak. Rusah (Bekas ADUN Bengoh yang kini menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak)."
Walaupun demikian, pemerhati politik berpendapat bahawa tidak ada seorang calon yang ada di kalangan pemimpin PBB sekarang yang akan mampu menewaskan calon STAR, Dr. Jerip Ak. Susil, seandainya beliau bertanding di Kawasan Mambong

SNAP merupakan salah sebuah parti yang telah bekerja keras dalam tempoh tiga tahun yang lepas untuk melobi Mambong. Sepanjang tahun 1997-1999, SNAP telah membuka cawangannya di hampir setiap kampung dalam Kawasan Parlimen Mambong. Sebelum Pilihanraya Parlimen 1999, Ketua Penerangan SNAP, merangkap Pengerusi SNAP Mambong, Encik Detta Samen telah berjaya menubuhkan sebanyak 48 cawangan SNAP di kawasan Mambong. Ulasan yang dibuat oleh Aszman Alim (1999) dalam makalah Eksklusif menjelaskan:

"SNAP adalah di antara parti politik yang terkuat mengidamkan kerusi Mambong dan dikatakan mempunyai calon yang  paling sesuai. Baru-baru ini, Presiden SNAP Datuk Amar James Wong Kim Min mengatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan tuntutannya terhadap kerusi itu dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Mengenai calon, beliau menambah, SNAP mempunyai seorang calon yang sesuai untuk bertanding di Mambong sekiranya kerusi tersebut diberikan kepada SNAP. Difahamkan bahawa seorang peguam kelahiran Kampung Mambong, Encik Detta Samen, yang aktif menemui para pengundi bagi mendapatkan sokongan di kawasan berkenaan bakal menjadi tokoh yang diketengahkan oleh SNAP" (Aszman Alim; 1999: 24)
Bukan SUPP, PBB dan SNAP sahaja yang melobi kerusi Mambong. Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) juga turut melobi kawasan tersebut. Sekiranya PBDS mendapat restu daripada pucuk pimpinan BN, PBDS dikatakan akan mengetengahkan Encik Wilfred Nissom, selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, sebagai calon dari parti tersebut.

Walaupun ketiga-tiga komponen parti BN telah mengemukakan senarai calon masing-masing yang dikatakan telah lama berkempen, namun pucuk pimpinan BN Sarawak semasa mengumumkan senarai calon mengatakan bahawa formula terbaik untuk menyelesaikan masalah perebutan kerusi Mambong di kalangan parti komponen BN ialah dengan meletakkan calon langsung BN seperti mana yang telah dilakukan oleh BN Sarawak di kerusi Parlimen Hulu Rejang pada Pilihanraya Parlimen 1995 (Utusan Sarawak, 27/10/99). Ketika ditemubual oleh Utusan Sarawak (27/10/99) mengenai kerusi Mambong, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, "Isu tersebut telah banyak diperhebohkan di peringkat akar umbi tetapi kita berpendapat bahawa BN mampu membuatkan rakyat di kawasan berkenaan berpuas hati berhubung dengan pemilihan calon".

Beliau menambah, senarai keputusan akhir calon akan diputuskan oleh Perdana Menteri (Utusan Sarawak, 5 November, 1999) dan turut membayangkan kemungkinan meletakkan calon langsung Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen baru Mambong pada pilihan raya umum akan datang. Selanjutnya beliau berkata, "Saya tidak nampak sebarang masalah berhubung dengan perkara tersebut, tetapi kita kena tunggu komen daripada (Dato' Seri) Dr. Mahathir (Mohamad)", ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa calon seperti itu akan diletakkan di kawasan berkenaan sebagai kompromi di kalangan komponen BN. Datuk Patinggi Taib yang juga pengerusi BN Negeri berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Perdana Menteri dan menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan muktamad mengenai calon BN di Mambong.

Formula yang serupa telah digunakan pada pilihan raya Parlimen 1995 apabila calon langsung dari BN, Billy Abit Joo diletakkan bertanding di kawasan Hulu Rajang. Abit kemudiannya menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) selepas memenangi kerusi itu. Ketua Menteri juga berkata yang beliau akan menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi walaupun beliau "mempunyai cadangan yang wajar tentang apa yang bakal diputuskan".

Mengenai pertukaran kerusi di kalangan parti-parti komponen BN, beliau berkata perkara tersebut sebagai tidak perlu kerana semua parti komponen berpuas hati dengan sistem pengagihan sekarang. Selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Dr Mahathir, selaku  pengerusi BN berkata, parti komponen BN boleh bertukar kerusi di antara satu sama lain pada pilihan raya umum akan datang. Datuk Patinggi Taib yakin bahawa sistem tersebut akan menghasilkan kesan positif kepada BN Negeri yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Setelah pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri mengenai calon langsung BN di Mambong, ramai di kalangan pemerhati politik telah membuat teka-teki mengenai siapakah calon tersebut. Di kalangan ahli-ahli PBB, ada yang menjangkakan bahawa Ketua Menteri sendiri yang akan bertanding di Mambong. Tetapi ramai berpendapat bahawa Ketua Menteri tidak mempunyai penyokong di peringkat akar umbi memandangkan majoriti pengundi di Mambong adalah kaum Bidayuh. Spekulasi mengenai calon langusung semakin menjadi tanda tanya bukan sahaja kepada pemerhati politik di Sarawak malah kepada para pengundi di Mambong. Spekulasi ini hanya terjawab pada 17 November, 1999 apabila Ketua Menteri sendiri telah mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding dalam Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999, termasuk nama calon langsung BN, Dr. James Dawos Mamit untuk kerusi P.172 Mambong. (Balik?)


Model Memilih Undi
Terdapat ramai pengkaji politik yang telah membuat kajian terhadap perlakuan pengundi dalam pilihanraya. Himmelweit et al. (1987) menyatakan bahawa keputusan untuk mengundi adalah dipengaruhi oleh berbagai faktor dan akan berbeza mengikut perspektif individu, masalah dalaman negara dan perbezaan landasan parti. Model yang diketengahkan oleh Himmelweilt dikenali sebagai Model Kognitif Memilih Undi yang mengandaikan seseorang pengundi sebagai individu yang aktif. Individu dengan personaliti, set tingkahlaku dan fahaman yang dimilikinya akan melihat kebaikan dan keburukan seorang calon atau sesuatu parti berdasarkan persepsinya terhadap landasan dan perjuangan parti. Dalam model ini, Himmelweit et al. (1987) telah memberi penekanan kepada bagaimana individu itu melihat kesan daripada undinya, sejauh mana dia menjangka pembuatan di masa hadapan dan sejauh mana penilaiannya terhadap kedudukan parti. Sarok (1993) ketika mengulas pendapat Himmelweit et al. (1987) telah menyenaraikan tiga keadaan yang perlu dipenuhi oleh seseorang pengundi. Pertama, pengundi mesti mengambil tahu isu yang diperjuangkan oleh calon atau parti. Kedua, pengundi sepatutnya ada perbezaan pendapat berhubung dengan sesuatu isu yang diperjuangkan di kalangan pengundi. Ketiga, pengundi perlu mempunyai pendirian yang berbeza terhadap isu-isu yang dikemukakan oleh calon atau parti (Sarok, 1993: 42). Model yang dikemukakan oleh Himmelweit et al. (1987) boleh dijelaskan dalam Rajah 1 di bawah:

Dari model ini, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perlakuan pengundi, di antaranya ialah:

Model yang dikemukakan di atas adalah berdasarkan kepada kajian-kajian yang telah dilakukan di negara barat. Oleh itu ia tidak cukup untuk menjelaskan perlakuan pengundi masyarakat Bidayuh di Mambong, Sarawak. (Balik?)

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Perlakuan Pengundi
Pengkaji-pengkaji lain berpendapat bahawa banyak faktor yang mempengaruhi perlakuan pengundi. Faktor-faktor ini adalah seperti pengaruh keluarga, keberkesanan jentera pilihanraya, dasar atau perjuangan parti, faktor perkauman, kepemimpinan parti, dan pengaruh media massa (Harris, 1975; Aziz, 1992; Sarok, 1993). Menurut Harris (1975), terdapat 95% pengundi di Britain akan mengundi parti yang sama dengan ibu-bapa mereka. Manakala kajian Aziz (1992) dan Sarok (1993) menunjukkan keadaan yang sebaliknya berlaku di Malaysia. Aziz (1992) yang membuat kajian di Kawasan Parlimen Kota Melaka menunjukkan bahawa keluarga tidak mempunyai pengaruh yang kuat ke atas perlakuan pengundi. Mengikut kajian tersebut hanya 16.67% responden sahaja menyatakan bahawa mereka dipengaruhi oleh keluarga mereka sewaktu mengundi. (Balik?)

Calon yang bertanding adalah anak tempatan
Mohamed (1987) berpendapat bahawa terdapat dua faktor penting kenapa seseorang calon itu berjaya mengalahkan calon lain dalam pilihanraya. Pertama, calon tersebut adalah merupakan seorang anak tempatan. Maksudnya di sini ialah calon tersebut mestilah anak kelahiran di dalam kawasan Pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, kedua-dua calon adalah merupakan anak tempatan. Calon langsung BN, misalnya, dilahirkan di tempat mengundi Kampung Stabut dalam daerah mengundi Depan. Dari kiraan perolehan undi di Kampung Stabut/Praya, calon langsung BN telah berjaya meraih sebanyak 277 undi berbanding dengan 37 undi yang telah diperolehi oleh calon STAR (Jadual 1).

Sementara itu, calon STAR adalah merupakan anak kelahiran Kampung Karu di dalam daerah mengundi Braang. Apa yang jelas di sini ialah calon STAR telah berjaya memperolehi 184 undi di kawasan kelahirannya berbanding dengan hanya 41 undi sahaja yang telah berjaya diperolehi oleh calon langsung BN (Jadual 2).

Alasan kedua ialah parti atau calon yang bertanding mestilah mempunyai jentera pilihanraya yang cekap, terutamanya dalam kempen menjelang hari pembuangan undi. Keberkesanan jentera pilihanraya adalah merujuk kepada bagaimana parti atau calon tersebut mengambil para pekerja kempennya, serta bagaimana mereka itu digerakkan untuk memberi ceramah, menampal poster dan berkempen untuk mempengaruhi pengundi (Mohamad, 1987: 36).

Dalam konteks Pilihanraya Parlimen Sarawak 1999, BN didapati mempunyai beberapa buah bilik operasi yang terletak di lokasi yang agak strategik di beberapa buah pekan seperti Siniawan, Kota Padawan, Siburan, Tapah dan juga Tarat. Tambahan pula, ADUN Bengoh dan ADUN Tarat, selain menjadi pencadang dan penyokong kepada calon langsung BN, mereka juga turut dilantik menjadi Pengarah untuk mengawas kelancaran kempen-kempen politik yang dijalankan oleh BN supaya mendatangkan impak (impact) kepada para pengundi. Keadaan sebaliknya berlaku kepada calon parti pembangkang. Calonnya, Dr. Jerip Ak. Susil tidak mempunyai bilik gerakan. Beliau hanya beroperasi dari Ibu-Pejabat parti sahaja. Parti ini serba dalam kekurangan dari segi pelbagai aspek, khususnya dalam pengambilan para pekerja untuk berkempen. Tetapi jika ditinjau dari segi jumlah perolehan undi oleh kedua-dua calon, nyata sekali bahawa kenyataan ini mungkin tidak tepat kerana calon parti pembangkang juga mampu meraih undi yang banyak walaupun tidak mempunyai jentera pilihanraya yang sehebat jentera pilihanraya BN. (Balik?)


Dasar perjuangan parti
Pertubuhan parti-parti politik adalah merupakan wadah atau landasan yang dibina untuk mempengaruhi pengundi, khususnya semasa pilihanraya. Rahman (1992) menyatakan bahawa dasar-dasar yang diperkenalkan oleh parti yang memerintah merupakan bahan penawar yang secara amnya bertujuan untuk mempengaruhi perlakuan para pengundi. Dasar atau program pembangunan yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat. Malah jika ia tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan menjadi bahan untuk memburuk-burukkan kerajaan oleh parti pembangkang.

Dalam pilihanraya kali ini, terdapat beberapa buah projek pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan telah menjadi bahan kempen. Projek-projek yang dimaksudkan ialah projek Kilang Klinker Sarawak di Kampong Mambong, yang jaraknya lebih kurang 24 kilometer dari Bandaraya Kuching. Projek kedua merupakan projek peranginan di Gunung Penrissen yang dikenali sebagai Pusat Peranginan Puncak Borneo.

Sungguhpun pihak pembangkang tidak mempolitikkan kedudukan kedua-dua projek tersebut, namun apa yang jelas ialah para pengundi di Kampung Mambong dan Kampung Sikog yang mendapat impak daripada projek tersebut telah bertindak untuk tidak mengundi calon langsung BN, malah mereka telah mengundi calon pembangkang. Bagi penduduk Kampung Mambong, mereka tidak berpuas hati kerana kerajaan telah mengambil tanah mereka untuk tujuan pembangunan Projek Klinker Sarawak. Di samping itu, pihak pengurusan kilang juga telah gagal di dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan penempatan semula para penduduk kampung yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut.

Penduduk Kampung Sikog juga berasa cemas apabila ada ura-ura kononnya tanah mereka yang berdekatan dengan Air Terjun Baan Gong akan dimajukan sebagai sebuah kawasan rekreasi. Mereka khuatir yang tanah mereka akan diambil dan segala ladang dan dusun buah-buahan mereka juga akan turut musnah. Mereka juga khuatir yang mereka tidak akan menerima pampasan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Selain itu, mereka juga telah menyaksikan bagaimana wakil rakyat mereka telah memperdayakan penduduk kampung dengan membeli tanah mereka dengan kadar yang kurang munasabah. Tanah tersebut kemudiannya dibangunkan tetapi tidak mendatangkan sebarang faedah kepada penduduk kampung.

Keadaan sebaliknya berlaku di tempat-tempat mengundi seperti di Kampung Git, Giam, Staang, dan Petag (Jadual 3). Para pengundi dari kampung-kampung berkenaan telah mengundi calon langsung BN dengan harapan kerajaan akan menunaikan janjinya untuk menyalurkan bekalan elektrik ke kawasan tersebut. Jelas sekali bahawa para pengundi memilih calon BN atas dasar kepercayaan mereka terhadap dasar-dasar pembangunan yang diamalkan oleh kerajaan BN, yang mana juga akan membawa pembangunan ke kampung mereka. Alasan-alasan yang dikemukakan ini menjelaskan kenapa para pengundi memilih calon yang berlainan dalam pilihanraya kali ini.

Merujuk kepada masyarakat Bidayuh di Kampung Annah Rais, mereka berasakan bahawa projek Pusat Peranginan Puncak Borneo tidak mendatangkan hasil kepada mereka. Penduduk yang tanah mereka telah diambil berasakan bahawa pampasan yang dibayar adalah tidak memadai dengan nilai tanah mereka. Oleh itu, jalan pintas bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka ialah dengan mengundi pihak pembangkang. Tujuan mereka bertindak demikian ialah agar calon pembangkang ini dapat menyuarakan hasrat mereka kepada kerajaan.

Begitu juga keadaannya di daerah mengundi Siniawan dan Krokong. Di Siniawan, terutamanya di kampung-kampung seperti Podam, Peninjau, dan Serumbu, para pengundinya telah bertindak untuk mengundi calon STAR sebagai bantahan kepada pihak kerajaan. Ini disebabkan pihak kerajaan telah mengeluarkan lesen kepada pihak-pihak tertentu untuk melombong Gunung Serumbu yang letaknya tidak jauh dari kawasan perkampungan mereka.

Walaubagaimanapun, keadaan yang sedikit berbeza telah belaku di daerah mengundi Krokong. Para pengundi telah bertindak untuk mengundi calon pembangkang atas dasar semangat perkauman. Mereka berpendapat bahawa Parti STAR yang dipimpin oleh Dr. Patau Rubis mampu menjaga kepentingan kaum Bidayuh. Di daerah mengundi Krokong, calon STAR telah berjaya memperolehi 62.5% dari jumlah kiraan undi, berbanding hanya 37.5% daripada jumlah undi yang telah diperolehi oleh calon BN. Leigh (1983) yang mengkaji perkembangan politik di Sarawak dari tahun 1963-70 menyatakan bahawa faktor perkauman merupakan faktor terpenting dalam mengkaji politik Sarawak.

Kenyataan Leigh (1983) ini disokong oleh Searle (1983) dan juga Milne dan Mauzy (1992: 194-195). Mereka menyatakan bahawa calon-calon parti akan mendapat sokongan padu daripada kaum yang diwakilinya. Dalam erti kata lain, Parti SUPP mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina, manakala parti-parti SNAP dan PBDS mendapat sokongan padu daripada masyarakat Iban. Parti PBB pula disokong oleh masyarakat Melayu Sarawak dan kaum Melanau, termasuk juga masyarakat pribumi di Sarawak. Bagi masyarakat Bidayuh, mereka tidak mempunyai sokongan erat kepada mana-mana parti yang khusus, dan mereka didapati memberikan sokongan kepada ketiga-tiga parti tadi secara berasingan. Kewujudan Parti STAR yang dipimpin oleh seorang tokoh dari kaum Bidayuh telah dilihat oleh para pengundi di daerah Krokong sebagai memperjuangkan nasib masyarakat Bidayuh. Oleh yang demikian, mereka memberikan sokongan padu kepada calon STAR (Jadual 4).

(Balik?)

Keahlian dalam parti.
Keahlian dalam parti  merupakan faktor penting dalam mempengaruhi perlakuan pengundi. Cord (1982) yang menjalankan kajian ke atas perlakuan pengundi di negara yang mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika Syarikat (Republican dan Democrat) merumuskan bahawa, para pengundi cenderung untuk mengundi berasaskan kepada keahlian mereka di dalam sesebuah parti. Keadaan yang sedemikian tidak berlaku di kalangan ahli-ahli komponen BN di kawasan Mambong. Dari tinjauan rambang yang telah dibuat, hanya ahli-ahli PBB sahaja yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon langsung BN. Ahli-ahli komponen BN lain seperti SUPP dan juga SNAP tidak memberikan sokongan yang sewajarnya untuk kemenangan calon BN.

Menurut seorang pemerhati politik yang enggan namanya disiarkan berkata, hampir 65% daripada ahli SNAP telah bertindak menyokong dan mengundi calon STAR, kerana mereka amat kecewa dengan pucuk pimpinan BN yang tidak mencalonkan pemimpin mereka, iaitu Pengerusi SNAP Mambong, sebagai calon untuk bertanding merebut kerusi Mambong. Tujuan mereka berbuat demikian ialah sekiranya calon langsung BN dapat dikalahkan oleh pembangkang, maka parti mereka boleh melobi kerusi tersebut untuk Pilihanraya Parlimen yang akan datang.

Keadaan yang sama juga telah berlaku dengan Parti SUPP. Ramai di kalangan ahli-ahli SUPP yang terdiri daripada majoriti pengundi masyarakat Cina dan sebahagian kecil yang berbangsa Bidayuh telah mengundi calon STAR. Senario ini dapat digambarkan dalam Jadual 5. Kerusi N.14, merupakan kerusi DUN yang dimenangi oleh calon SUPP dalam Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu. DUN Bengoh mempunyai seramai 18,296 orang pengundi berdaftar. Jika ahli-ahli SUPP bertindak menyokong calon langsung BN di dalam Pilihanraya Parlimen ini, kemungkinan beliau juga boleh mengalah calon STAR di daerah-daerah mengundi di N.14 Bengoh. Apa yang jelas ialah calon BN hanya berjaya meraih 5,526 undi berbanding 6,035 undi yang telah berjaya diperolehi oleh calon STAR. Jika budaya politik sebegini yang diamalkan oleh para pengundi Bidayuh dalam Pilihanraya DUN yang akan datang, maka tidak hairanlah jika calon BN (SUPP) tewas.

Di DUN Tarat, perlakuan pengundi Bidayuh agak berbeza sedikit jika dibandingkan dengan DUN Bengoh. Kawasan DUN Tarat diwakili oleh Y.B. Encik Roland Sagah dari PBB. Dari apa yang dilihat dalam keputusan pilihanraya yang lalu, majoriti pengundi memberikan sokongan padu kepada calon langsung BN. Keputusan pilihanraya di sembilan buah daerah mengundi menunjukkan bahawa calon BN telah tewas tipis di daerah mengundi Senah (Jadual 6 dan 7), manakala di daerah-daerah mengundi yang lainnya, calon BN menang dengan majoriti yang agak memberangsangkan (Jadual 6). Ini ada kaitannya dengan faktor perjuangan parti dan keahlian dalam parti, kerana kawasan DUN Tarat merupakan kubu kuat PBB dan ahli-ahli PBB dalam DUN Tarat telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon langsung BN dalam pilihanraya kali ini. Selain dari Senah, calon BN juga telah tewas di daerah mengundi Batu Gong yang majoriti pengundinya adalah terdiri dari masyarakat Cina (Jadual 6). Apa yang jelas di sini ialah masyarakat Cina tidak memberikan sokongan padu kepada calon BN yang bukan diwakili oleh Parti SUPP. Akan tetapi, jumlah pengundi berdaftar seramai 3,113 orang di kawasan ini tidak akan mampu menggugat majoriti pengundi masyarakat Bidayuh (Lampiran 1).

(Balik?)

Kesimpulan
Dari apa yang telah dibincangkan, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perlakuan pengundi. Dalam penyertaan politik yang berkiblatkan parti, mereka yang menjadi ahli kepada PBB telah bekerja keras untuk memastikan calon langsung BN menang dan akan menyertai PBB selepas pilihanraya. Manakala ahli-ahli Parti SUPP dan SNAP mengharapkan agar calon langsung BN tewas supaya pemimpin mereka masih boleh melobi kerusi tersebut dalam pilihanraya yang akan datang. Sememangnya kedua-dua parti tersebut tidak memberikan kerjasama yang padu kepada PBB dalam pilihanraya yang lalu. Apa yang pasti ialah SUPP akan berdepan dengan pelbagai masalah jika ingin terus mengekalkan kerusi DUN N.14 Bengoh dalam pilihanraya DUN yang akan datang.

Satu perkara menarik yang wajar diberikan perhatian serius ialah berkenaan dengan kewujudan kelompok pengundi terapung (floating voters) yang besar di dalam kawasan pilihanraya P.172 Mambong. Kelompok ini merupakan faktor penentu dalam membuat keputusan pilihanraya. Jika mana-mana parti atau calon yang telah berjaya mempengaruhi mereka, maka calon atau parti tersebut akan mendapat sokongan daripada kumpulan ini. Akan tetapi jika mereka berasakan bahawa mereka ditindas, maka mereka ini akan bertindakbalas dengan membelakangkan parti atau calon yang menindas.

Manakala bagi faktor-faktor yang mempengaruhi perlakuan pengundi, faktor keluarga bukanlah faktor yang boleh mempengaruhi perlakuan pengundi masyarakat Bidayuh. Begitu juga dengan faktor pembangunan, di mana terdapat dua hujah yang boleh diketengahkan. Hujah pertama, jika pembangunan yang dilakukan itu membawa impak yang positif, maka para pengundi akan menyokong calon tersebut dalam pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya, para pengundi Bidayuh akan bertindak memulaukan calon BN sekiranya mereka berpendapat bahawa pembangunan yang diusahakan tidak menghasilkan kesan positif kepada masyarakat mereka. Faktor yang paling ketara ialah para pengundi akan mengundi berdasarkan kepada isu-isu yang diperjuangkan oleh parti-parti yang bertanding. (Balik?)


Bibliografi
  1. Aszman Alim. Mambong menjadi rebutan sesama BN. Eksklusif. Bil 30. M.s 24.
  2. Aziz, N. Azimah. 1992. Faktor-faktor yang mempengaruhi Perakuan Mengundi di Malaysia: Kajian Kes di Kota Tinggi Melaka: Tumpuan dalam Pilihanraya Umum 1990. (Tesis UUM Disember, 1992)
  3. Cord, L. Robert. 1985. Political Science: An Introduction. Englewood Cliffs. New Jersey: Prentice Hall Inc.
  4. Himmelweit, Hilde et al. 1985. How Voters Decide: A longitudinal study of political attitudes and voting. Philadelphia: Open University Press.
  5. Leigh, Micheal. 1983. The Rising Moon: Political change in Sarawak. Kuala Lumpur: Antara Book Company.
  6. Milne, R. S dan  Muazy, D. K. 1992. Politik dan Kerajaan Malaysia.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  7. Mohamed. 1987. Masyarakat Malaysia: Antara tradisi dan perubahan. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
  8. Rohana Bujang, Senarai calon tak banyak berubah (Utusan Sarawak, Selasa, 5hb Oktober1999)
  9. Sarok, Ahi.  Analisa Perlakuan Pengundi Masyarakat Bidayuh di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak. N.11, Bengoh.  Sekolah Ekonomi dan Pentadbiran Awam, Universiti Utara Malaysia. Latihan Ilmiah. 1993 (Tidak diterbitkan)
  10. Searle, Peter. 1983. Politics in Sarawak 1970-1976. Singapore; Oxford University Press.
  11. Utusan Sarawak. BN mungkin letak calon langsung di Mambong. (27/10/99) (Balik?)
(Balik?)
 

For comment and suggest to the article above email bidayuh dotcom or Ahi Sarok