Posted by YB Golong on August 25, 2005 at 09:25:29:
Ikatan kasih dari dan dayung
Perkahwinan merupakan upacara yang penting kerana melalui perkahwinan rangkaian kekeluargaan dapat diwujudkan. Perkahwinan ialah ikatan sepanjang hayat antara kaum lelaki dan hawa. Bagi masyarakat Bidayuh tradisional di Sarawak perkahwinan dianggap sebagai satu perkongsian yang bertujuan untuk membekalkan tenaga di bendang, melahirkan zuriat, dan melalui zuriat inilah kebajikan generasi tua akan terus dijaga. Bagi golongan tua yang masih mengamakan adat lama, perkahwinan dianggap sebagai suatu yang suci kerana beberapa aspek adat tradisi perlu dipatuhi sebelum atau selepas perkahwinan.
Seseorang yang telah berkahwin mempunyai pelbagai tanggungjawab, bukan setakat menjaga kebajikan keluarganya, tetapi mesti mengamalkan sikap yang positif seperti tekun bekerja, murah hati, boleh dipercayai, berhemah tinggi, dan penyayang. Seseorang yang tidak mempunyai kualiti-kualiti ini mungkin sukar untuk mencari pasangan hidup, dan menyebabkannya kekal membujang dan menjadi bujang nyamba. Beliau akan dikenali sebagai bouh atau tidak mempunyai zuriat apabila meninggal dunia, sesuatu yang mengaibkan dan penghinaan dalam kalangan masyarakat Bidayuh tradisional.
Secara tradisinya masyarakat Bidayuh ialah petani dan kebanyakan aktiviti di rumah panjang atau di kampung berkisar kepada aktiviti bercucuk tanam. Dengan bekerja di sawah bendang melalui pengiris, dayung atau perempuan bertemu jodoh dengan dari atau lelaki Bidayuh. Pengiris bermaksud pemuda pemudi di kampung saling membantu dalam kerja harian sama ada membersih sawah atau menuai padi. Setelah masa berlalu, bibit-bibit cinta mula berputik di hati sanubari mereka, dari Bidayuh akan mulai awang atau tertarik dan jatuh hati kepada dayung Bidayuh.
Hubungan mereka akan terus terjalin apabila dari tersebut sering mewah atau berkunjung ke rumah dayung berkenaan pada waktu malam. Mewah ialah cara tradisi bagaimana kaum dari yang membolehkannya untuk mengeratkan hubungan dengan dayung dan ini lazimnya dilakukan pada waktu malam setelah keluarga berkenaan menikmati makam malam dan di hadapan keluarga si gadis tersebut. Dari dan dayung tersebut boleh berjaga sehingga ibu bapa gadis tersebut tidur.
Jika ibu bapa atau keluarga gadis tersebut tidak berkenan, dia boleh berterus terang menyatakan tidak merestui hubungan anak dayungnya dengan dari berkenaan. Sekiranya dia terus mewah tanpa menghiraukan tradisi ini, ibu bapa dayung berkenaan boleh memberitahu ketua kampung, dan jika melanggarkan adat, dia boleh didenda dengan takud. Takud ialah hukuman yang memerlukan mereka yang melanggar adat membayar pampasan dalam bentuk gerunung yang perlu diberi kepada keluarga dayung berkenaan dan dari tersebut kemudiannya dilarang berjumpa dengan lelaki berkenaan.
Selepas beberapa siri mewah, si dayung akan menyatakan persediaannya untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan, dan jika berkenan, jejaka tersebut akan memaklumkan serta mendapatkan nasihat daripada ibu bapanya. Sekiranya ibu bapa jejaka tersebut berkenaan dengan pilihan itu, mereka akan melantik orang tengah untuk melamar. Selalunya orang perantara merupakan bapa saudara atau ahli keluarga terdekat untuk berjumpa dengan keluarga perempuan.
Apabila orang perantara ini berkunjung ke rumah si gadis, tugas beliau bukan setakat mendapatkan restu keluarganya, tetapi turut berunding tentang isu-isu yang berkaitan seperti tarikh pertunangan. Lazimnya si perantara akan memerihalkan latar belakang keluarga dan suku-sakat dari tersebut. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa mereka berdua tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan.
Menurut adat resam masyarakat Bidayuh perkahwinan antara saudara-mara tidak dibenarkan sama sekali. Orang perantara bertanyakan ibu bapa gadis tersebut sama ada anak mereka boleh tunda atau ikut si teruna itu selepas mereka berkahwin. Jika bersetuju, dia akan maklumkan kepada ibu bapa lelaki berkenaan. Selepas itu si perantara berkenaan akan pulang secepat mungkin bagi mengelakkannya daripada mendengar atau melihat alamat yang tidak baik.
Jika jawapan daripada pihak ibu bapa dayung adalah negatif dan ibu bapa dari tersebut tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, mereka boleh sama ada membatalkan hasrat itu atau meminta orang perantara itu untuk mengadakan perbincangan dengan keluarga dayung tersebut untuk kali kedua.
Sekiranya usaha ini juga gagal, hasrat melamar dayung terpaksa diberhentikan. Jika lamaran pihak dari itu tidak diterima oleh ibu bapa dayung, maka jalan yang boleh diambil oleh pasangan tersebut ialah kahwin lari. Walau bagaimanapun, kahwin lari jarang belaku dalam kalangan masyarakat Bidayuh tradisional, dan amat jarang lamaran itu ditolak.
Apabila lamaran itu diterima, orang perantara itu akan ditugaskan untuk memberi hadiah pertunangan atau tanda betunang kepada keluarga dayung sebagai hadiah pertunangan mereka. Hadiah ini berbeza menigikut kemampuan masing masing. Bagi keluarga yang sederhana tanda bertunang ini dalam bentuk; sarung hitam atau jemuh singot, sebentuk cincin emas, dan wang tunai. Bagi keluarga yang berada tanda bertunang ini dalam bentuk; tali pinggang yang diperbuat daripada perak atau gimba, jemuh singot, sebentuk cincin emas, dan wang tunai. Pada zaman dahulu, dari selalunya menghadiahkan tiga set nakan atau kotak kecil daripada buluh, tembakau, gambir dan kapur, daun sirih jemuh singot dan sebentuk cincin. Daun sirih, buah pinang mestilah dipetik sendiri oleh dari tersebut. Daun sirih dibungkus dan buah pinang itu mestilah daripada kualiti yang baik. Upcara bertunang lazimnya diadakan pada waktu malam, satu atau dua minggu selepas lamaran berlangsung.
Rombongan pihak lelaki itu akan terdiri daripada ibu bapa dan saudara-maranya dan dipimpin oleh orang perantara. Dalam perjalanan ke rumah keluarga dayung, mereka mesti mengelakkan daripada jatuh, memijak najis khinzir dan memijak semut. Mereka juga turut memukul gong untuk mengelakkan daripada mendengar alamat buruk seperti bunyi burung tertentu. Apabila sampai di rumah dayung mereka disambut dengan penuh tradisi dengan beras siya atau beras kuning akan ditabur sebaik sahaja rombongan tersebut menaiki verandah.
Pasangan yang bertunang akan duduk berdekatan dengan ahli keluarga masing-masing. Setelah semua mengambil tempat, orang perantara akan memulakan acara dengan memaklumkan tujuan mereka. Acara ini diikuti oleh ucapan daripada bapa dari, dan balasan daripada bapa dayung. Upacara ini disaksikan oleh ketua kampung.
Setelah selesai, orang perantara akan memberi tanda pertunangan kepada ketua kampung dan beliau akan menyampaikannya kepada ibu bapa dayung berkenaan sebagai tanda ikatan. Selepas itu pasangan itu akan diberikan nasihat oleh ahli keluarga kedua-dua pihak termasuk ketua kampung. Tempoh pertunangan selalunya tidak melebihi satu tahun, dan selepas itu barulah mereka boleh memilih hari yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.
Di kebanyakan kampung Bidayuh upacara perkahwinan lazimnya berlansung pada sebelah petang. Rombongan pengantin perempuan akan berjalan ke rumah pengantin lelaki diiring oleh pukulan gong. Pengantin perempuan memakai pakaian tradisi yang berwana merah, putih dan hitam, dan dihiasi dengan manik-manik. Skirt diperbuat daripada kain hitam dan yang sisinya dihiasi oleh duit syiling lama dan pinggang pengantin perempuan dihiasi dengan tali pinggang yang diperbuat daripada perak, dan baju daripada kain sutera berwarna merah dan di sisinya digantung duit syiling lama. Pengantin lelaki mengenakan pakaian tradisi, seperti kongkong yang dihiasi manik-manik lama dan taring-taring beruang. Rombongan yang membawa pengantin perempuan akan disambut oleh keluarga pengantin lelaki sebaik sahaja sampai di tanju.
Upacara perkahwinan bermula dengan tua gawai menabur beras kunyit ke atas mempelai sambil membaca mantera. Selepas itu, tua gawai akan memusing-musingkan ayam jantan putih di atas kepala kedua-dua mempelai sambil membaca mantera khas. Upacara ini diikuti dengan upacara menaburkan manik-manik di atas kepala mempelai. Mantera pendek dibaca memohon restu daripada tepa atau tuhan agar memberkati, melindungi dan memimpin pasangan tersebut dalam kehidupan harian mereka. Beliau juga meminta supaya pasangan ini diberkati dengan anak yang banyak.
Sebaik sahaja upacara tersebut berakhir, para tetamu pun dihidangkan dengan makanan. Sambil menikmati jamuan, upacara papa atau memberi makanan kepada mempelai dilangsungkan yang diketuai oleh mereka yang arif tentang adat resam kaum Bidayuh dan perlu mempunyai banyak zuriat. Seseorang yang tidak mempunyai zuriat atau telah bercerai tidak dibenarkan melakukan upacara tersebut bagi mengelakkan pasangan tersebut daripada petaka yang dihadapi oleh orang berkenaan. Sambil upacara ini berlansung, dayung beris akan membaca mantera memuja tepa supaya memberkati pasangan tersebut.
Pada malam perkahwinan pasangan mempelai akan diberi adon jajang atau nama panggilan. Lepas nama itu diumumkan pasangan itu akan dipanggil sama sanuh atau sindu sanuh atau ibu bapa si anu. Dalam kebanyakan kes adon jajang diberi mengikut anak abang atau kakak pasangan tersebut. Selepas berkahwin, ibu bapa dan kaum keluarga yang lebih tua boleh memanggil mereka menggunakan nama sebenar. Sebagai tanda penghormatan, saudara- mara yang lebih muda, mentua dan masyarakat kampung tidak boleh menggunakan nama sebenar mereka.
Di akhir upacara perkahwinan pasangan tersebut akan diberikan kata-kata nasihat tentang bagaimana membina keluarga yang bahagia, mengelakkan pertengkaran, dan cara menghormati mentua. Sebaik sahaja upacara ini berakhir, para jemputan akan dihiburkan dengan bermacam-macam acara tradisional seperti tarian berejang, birayun dan bergendang, sambil menikmati minuman tuak, dan upacara ini akan berakhir sampai pagi.
TAMAT
Thank you for submitting your article to bidayuh dotcom. bidayuh dotcom do not edit the contents of this article. bidayuh dotcom have the right to remove any material posted found not fit or being request to remove.
If you like the article or would like to comment please send your email to the author.